Overblog
Edit post Follow this blog Administration + Create my blog

2015-01-04T18:51:58+01:00

Reconquista

Posted by KayMajid
Reconquista
Reconquista

Abstrak

Penulisan ini membincangkan tentang bagaimana Kerajaan Andalus jatuh ke tangan orang - orang Kristian. Kerajaan Andalus merupakan sebuah kerajaan yang telah mencipta sejarah ketamadunan Islam yang tinggi , namun kerajaan ini telah jatuh ke tangan orang - orang Kristian. Kejatuhan kerajaan Andalus ke tangan orang - orang Kristian ini berpunca daripada faktor dalaman dan faktor luaran. Selain itu, dalam kajian ini juga, saya telah mendapat maklumat melalui dua sumber iaitu sumber jurnal dan sumber buku. Tambahan lagi, dalam kajian ini didapati bahawa kejayaan tentera - tentera Kristian menakluk Andalus adalah disebabkan oleh pengabungan orang - orang Kristian dan kelemahan pemerintah Andalus sehingga berlaku pemberontakkan. Ini menunjukkan bahawa kita umat Islam perlu bersatu padu dalam mempelihara agama dan negara kita daripada ancaman anasir luar. Bukan itu sahaja, pemimpin yang memrintah negara Islam kini juga perlu mengambil ikhtibar daripada kisah - kisah yang lalu supaya kesucian agama Islam masih terpelihara.

Pengenalan

Andalus merupakan istilah yang telah digunakan ketika dahulu yang merujuk kepada negara Sepanyol dan Portugal pada masa ini. Sebelum kedatangan Islam, Andalus telah di kenali sebagai ' Iberia '. Iberia ini sebenarnya telah dikaitkan dengan masyarakat ' Iberio ' iaitu masyarakat yang mula - mula mendiami kawasan tersebut. Manakala bagi istilah Andalus pula berasal daripada perkataan ' Vandalucia '. Hal ini demikian kerana, orang - orang eropah yang telah berjaya merampas tanah ini daripada kerajaan Rom pada abad ke - 5 masihi dikenali sebagai orang - orang Vandal. Selepas kerajaan Islam berjaya menakluki tanah tersebut daripada orang eropah tanah tersebut disebut dalam dialek arab menjadi ' Andalus '. Andalus telah berjaya dibuka oleh Panglima Tariq ibn Ziyah dengan bantuan Khalifah Musa bin Nusyar pada 17 Julai 711 masihi dan semasa pemerintahan Khlifah Saidina Uthman Ra ( Ahmad Thomson, 1996 : 13).

Penaklukan semula Andalus oleh tentera Kristian telah bermula selepas kejatuhan Kerajaan Granada di tangan Raja Ferdinand dan Ratu Isabella. Penaklukan tentera Kristian ini dinamakan sebagai ' Reconquista ' yang membawa maksud 'merebut semula' ( Muhammad, 1998 : 349 ). Di mana tentera Kristian telah berjaya merampas semula Andalus daripada kerajaan Islam. Gerakan Reconquista semakin bertambah kuat setelah lenyapnya Kerajaan Muwahhidin.

Faktor Kejayaan Kuasa Eropah Menguasai Andalus

1.0 Kelemahan Andalus

1.01 Sering berlaku pemberontakan

Zaman kegemilangan Islam di Andalus mulai merosot pada zaman pemerintahan Khalifah Hisyam. Pada zaman ini telah berlaku begitu banyak siri pemberontakan, hal ini disebabkan oleh sifat cemburu dan tidak puas hati pemimpin atasan dengan pemerintahan khalifah. Semasa pemerintahn Hisyam, telah berlaku pemberontakan antara baginda dengan saudaranya iaitu Abdullah dan Sulaiman. Selain itu, berlaku juga pemeberontakan pada zaman Khalifah Hakam, di mana kaum faqih telah menghasut dan mencela Khalifah Hakam dalam pidato mereka. Hal ini berlaku kerana ketidakpuasan hati mereka terhadap pemerintahan khalifah. Pada zaman pemerintahan Khalifah Abdul Rahman juga berlaku pemberontakan yang telah dilakukan oleh orang Berber dan Yamanish. Walaupun kesemua siri pemberontakan ini dapat diatasi namun, kemakmuran dan keamanan Andalus masih tidak terjamin. Apabila rakyat dan pemerintah tidak dapat bekerjasama dan bertolak ansur, negara akan mudah diserang oleh kuasa asing.

1.02 Perubahan struktur pemerintahan

Selain itu, perubahan struktur pemerintahan juga merupakan salah satu faktor kelemahan Andalus. Ini dapat dilihat ketika zaman Khalifah Hisyam II, baginda ketika menjadi khalifah adalah berumur 11 tahun. Baginda terlalu muda untuk mengurus hal ehwal pentadbiran negara, malah baginda sendiri tidak ada sebarang pengalaman dalam urus tadbir negara. Ibunya iaitu Sultanah Subh dan salah seorang menteri iaitu Ibnu Abi Amir telah mengambil alih pentadbiran negara ketika itu. Namun, pemerintahan sebenarnya telah dikuasai oleh Ibnu Abi Amir, beliau telah menjadikan dirinya sebagai penguasa. Walaupun ramai menteri lain mengutuk tindakannya, mereka tidak dapt berbuat apa - apa kerana Ibnu Abi Amir mempunyai kekuatan tentera dan banyak melakukan penaklukan. Khalifah Hisyam II hanya menjadi boneka semata - mata dan baginda merupakan pemimpin yang lemah. Pendapat mengatakan, pada zaman bagindalah berlaku gerakan orang - orang Kristian menentang Islam secara kecil - kecilan.

1.03 Muncul kerajaan - kerajaan kecil

Bukan itu sahaja, kejatuhan Andalus juga disebabkan oleh munculnya kerajaan - kerajaan kecil. Pembentukkan kerajaan kecil ini turut dikenali sebagai ' Muluk al - Tawa'if ' yang wujud akibat daripada semangat kepuakkan untuk mengangkat kaum sendiri (Mohd Roslan & Mohd Zamri, 2011:22). Timbulnya perpecahan dalam Dinasti Umayyah di Andalus yang menyebabkan munculnya kerajaan - kerajaan kecil seperti Dinasti Abbadi, Dinasti Murabit dan Dinasti Bani Nasr. Dikatakan terdapat lebih daripada 30 kerajaan kecil yang terbentuk dan kerajaan - kerajaan ini saling berperang. Perpecahan Dinasti Umayyah kepada kerajaan - kerajaan kecil ini telah memudahkan orang Kristian untuk menyerang dan menakluki Andalus. Hal ini demikian kerana benteng pertahanan Andalus akan lemah disebabkan tiada kesepakatan antara orang Islam di Andalus.

1.04 Keterlibatan kuasa luar

Seterusnya, terdapat permintaan bantuan terhadap kuasa luar apabila sesebuah kerajaan itu diserang. Ini dapat dilihat pada zaman Dinasti Al - Mu'tamin, apabila Andalus diserang oleh tentera Al-Fonso dari Castille. Pemerintah Dinasti Al- Mu'tamin telah meminta bantuan daripada Dinasti Murabit di Afrika Utara untuk datang ke Andalus dan mereka mencapai kemenangan dalam peperangan tersebut. Raja Dinasti Murabit iaitu Yusuf Ibnu Tasyifin sebenarnya mempunyai niat tersendiri apabila memberi bantuan kepada Dinasti Al- Mu'tamin. Pada masa itu, telah berlaku perpecahan antara orang Islam di Andalus, ini telah membuka ruang kepada Yusuf Ibnu Tasyifin untuk menguasai Andalus dan pada tahun 1090 masihi, Andalus jatuh ke tangan Dinasti Murabit. Pemerintahan Dinasti Murabit juga ditentang oleh masyarakat terutamanya masyarakat arab muslim. Orang Arab muslim ini telah meminta bantuan daripada Dinasti Muwahhidin di Moroko untuk menyerang Dinasti Murabit dan Andalus berjaya dikuasai pula oleh Dinasti Muwahhidin.

1.05 Kelemahan sistem pertahanan

Kejayaan kuasa eropah menguasai Andalus juga didorong oleh faktor kelemahan sistem pertahanan negara. Disebabkan banyak berlaku pergolakkan di Andalus ramai tentera yang telah ditugaskan untuk mengawal pemberontakkan tersebut sehingga pertahanan negara sedikit sebanyak telah diabaikan. Pada masa ini, kuasa eropah telah mengambil kesempatan untuk menakluki Andalus dengan memperkuatkan angkatan tentera Kristiannya di bahagian utara Andalus. Dalam keadaaan umat Islam yang semakin berpecah belah ini, pada tahun 1085 masihi, pemerintah kota Teledo yang lemah telah menyerahkan kuasa pemerintahannya kepada Raja Castille kerana baginda tidak dapat bertahan dengan tekanan dan serangan yang telah dilakukan oleh tentera Raja Castille. Selain itu, kota Toledo sebenarnya telah dikepung oleh tentera Raja Castille selama tujuh tahun (Ahmad Thomson,1996:94). Penyerahan kota Teledo tersebut kepada kerajaan Kristian sukar untuk ditakluki semula oleh kerajaan Islam kerana pertahanan kota tersebut sangat kuat dan kota tersebut tidak pernah direbut kembali oleh mana - mana kuasa selepasa itu.

1.2 Kebangkitan orang - orang Kristian

1.10 Kecemburuan orang Kristian

Penaklukan semula Andalus oleh kuasa Eropah bukan sahaja disebabkan oleh faktor kelemahan dalaman Andalus, malah faktor kecemburuan dan dendam juga merupakan salah satu sebab kebangkitan orang - orang Kristian untuk mendapatkan semula Andalus dari tangan orang Islam. Orang - orang kristian di Eropah tidak senang dengan perkembangan dalam bidang keilmuan di Andalus, hal ini demikian kerana Andalus telah menjadi wilayah tumpuan oleh seluruh masyarakat dunia. Tambahan lagi, kejayaan orang - orang Islam dalam menguasai ilmu pengetahuan menyebabkan masyarakat Kristian di Eropah tidak berpuas hati.

1.11 Timbul kesedaran agama

Bukan itu sahaja, malah semangat orang - orang Kristian untuk mendapatkan semula Andalus disebabkan oleh timbulnya kesedaran agama di Eropah. Sebelum ini, masyarakat Eropah berada dalam zaman kegelapan, mereka sering berperang dan hidup dalam keadaaan berpecah belah serta mempunyai sistem sosial yang tidak teratur. Mereka hidup dalam kesengsaraan dan kekurangan, keadaan itu telah digambarkan oleh Crawford R.M. :

" ... Dalam zaman kegelapan, wabak - wabak penyakit dan peperangan sering memendekkan umur "

Setelah berlaku zaman pencerahan, masyarakat Eropah yang beragama Kristian telah bersatu dan mulai sedar akan kepentingan untuk menakluki wilayah - wilayah luar terutamanya wilayah yang berkaitan dengan agama Kristian dan wilayah yang pernah dijajah oleh Kristian. Selain itu, masyarakat Eropah juga mulai sedar akan kepentingan apabila mereka dapat menguasai wilayah Andalus daripada kerajaan Islam. Hal ini kerana, Andalus merupakan sebuah negara yang maju dari segi ekonomi dan Andalus merupakan pusat perkembangan ilmu pengetahuan yang utama di Eropah. Selain itu, Andalus juga merupakan sebuah wilayah yang begitu strategik kedudukannya terutamanya dari segi aktiviti perdagangan.

1.12 Pengambungan kuasa besar Kristian

Kejayaan penaklukkan kuasa Eropah di Andalus juga didorong oleh munculnya kekuatan Kristian di Andalus. Kerajaan - kerajaan Kristian seperti kerajaan Castille dan kerajaan Lean telah bergabung dan bersatu pada tahun 1230 masihi. Pergabungan kuasa - kuasa besar Kristian ini telah merancakkan aktiviti perebutan kuasa di Andalus. Kuasa orang - orang Kristian menjadi semakin kuat di Andalus dan ketika ini pula masyarakat Islam di Andalus smakin berpecah - belah. Pemerintah - pemerintah wilayah di Andalus tidak lagi dapat mempertahankan wilayah mereka daripada serangan tentera Kristian. Banyak wilayah yang mulai jatuh ke tangan tentera Kristian antaranya ialah wilayah Cordova yang telah diambil oleh tentera Kristian pada tahun 1236 masihi dan wilayah Seville ditakluk tentera Kristian pada tahun 1248 masihi. Hanya tinggal kota Granada yang di perintah oleh Bani al- Ahmar sahaja yang masih bertahan dan belum ditakluk oleh tentera Kristian. Proses penaklukkan ke atas kota Granada teleh ditangguhkan seketika kerana berlaku perselisihan antara kerajaan Castille dengan kerajaan Aragon ketika itu. Namun, perselisihan yang berlaku antara kerajaan Castille dan kerajaan Aragon tidak berlarutan dan perselisihan tersebut berjaya ditangani dengan segera. Malah, kerajaan Castille dan kerajaan Aragon telah menjadi sekutu yang baik, ini dapat dilihat dengan ikatan perkahwinan Raja Ferdinand II dari Aragon dengan Ratu Castille yang bernama Isabella. Tentera Raja Ferdinand II telah bergabung tenaga dengan tentera Ratu Isabella dalam menakluki wilayah Granada dan akhirnya wilayah Granada telah jatuh ke tangan tentera Kristian. Telah termeterai perjanjian yang ditandatangani oleh pihak Islam dengan Raja Ferdinand. Dalam perjanjian tersebut, dikatakan mempunyai 67 perkara yang melibatkan keselamatan orang Islam untuk tinggal di Andalus, namun perjanjian tersebut tidak ditunaikan oleh pihak Kristian. Jadi, setelah jatuhnya wilayah Granada tersebut ke atas tangan orang Kristian ini bermulalah pemerintahan oleh orang - orang Kristian di Andalus sehingga sekarang.

1.13 Pengaruh golongan agama

Seorang tokoh agama Kristian iaitu Bernard telah menjadi terkenal di dalam kalangan masyarakat Kristian di Andalus dan beliau telah mendapat anugerah kebesaran daripada Pope Urban II. Dengan ini, beliau telah menjadi Pengetua Tertinggi Gereja di Andalus ( Muhammad, 1998 : 263 ). Beliau telah menyebarkan semangat agama dan menyeru masyarakat Kristian di Andalus supaya menentang Kerajaan Islam. Bukan itu sahaja, Pope Urbanus II juga telah menyeru dan memberi sokongan kepada masyarakat Kristian Andalus dalam peperangan menentang umat Islam. Mengikut kata - kata Pope Urbanus II ini, masyarakat Kristian yang menentang umat Islam dianggap telah memberi khidmat yang mulia kepada agama mereka dan keterlibatan mereka dalam peperangan dapat menghapuskan dosa.

Susur - Galur Kejatuhan Wilayah - Wilayah Di Andalus Ke Atas Tangan Tentera Kristian

Wilayah Toledo

Setelah hampir empat abad wilayah Toledo berada di bawah kuasa pemerintahan Islam, akhirnya ia jatuh ke tangan orang Kristian pada tahun 1085 masihi (Muhammad, 1998 : 300). Alphose VI melihat wilayah Toledo ini sebagai sebuah wilayah yang harus dimiliki kerana mempunyai sistem pertahanan yang sangat baik. Jadi, beliau telah mengepung wilayah tersebut yang ketika itu diperintah oleh Yahya al-Qadir iaitu dari Bani Zinnun. Akhirnya, setelah sekian lama Alphose VI dan bala tentera mengepung wilayah Toledo, bandar Toledo terpaksa menyerah kalah. Kekalahan umat Islam ini membawa khabar gembira kepada masyarakat Kristian kerana bandar ini merupakan bandar ibu kota Goths yang pertama.

Wilayah Valencia

Ketika umat Islam di Andalus sedang berpecah - belah, masyarakat Kristian di Andalus semakin bersatu padu terutamanya dalam proses menentang umat Islam. Raja Aragon iaitu Jayeme I telah memilih sasarannya untuk menyerang wilayah Valencia yang ketika itu dipenrintah oleh kerajaan Islam. Jayeme I telah melakukan pelbagai jenis serangan demi serangan sehinggakan kerajaan Islam di Valencia terpaksa menyerah kalah pada tahun 1238 masihi. Setelah berjaya menguasai wilayah Valencia ini, pemerintah Kristian telah mengusir umat Islam di sana supaya keluar dari wilayah tersebut dan kebanyakkan mereka melarikan diri ke Selatan Andalus.

Wilayah Granada

Granada merupakan sebuah wilayah yang berdekatan dengan kawasan pantai yang sempit di tenggara Semenanjung Iberia. Granada juga merupakan wilayah yang terakhir dikuasai oleh tentera Kristian. Walaupun penaklukan ke atas wilayah ini tergendala, namun ia tidak terlalu lama dan penaklukan tersebut diteruskan. Granada ketika diancam oleh tentera Kristian adalah di bawah pemerintahan Bani al- Ahmar. Semasa pemerintahan bani ini, wilayah Granada telah menerima pelarian - pelarian yang telah melarikan diri ketika wilayah atau bandar mereka diserang oleh golongan Nasrani. Raja Ferdinand telah melihat isu pelarian ini sebagai suatu yang bahaya kerana beliau bimbang jikalau pengaruh pemerintahan Bani al- Ahmar ini bergabung tenaga menentang tentera atau pemerintahan Kristian. Di Granada, tentera - tentera Raja Ferdinand dan Ratu Isabella telah bergabung untuk menakluk Granada. Tentera - tentera Kristian telah melancarkan serangan secara bertubi - tubi dengan mempergunakan dan mengerahkan pasukan tentera yang ramai. Mereka juga telah mengadakan kepungan di seluruh Kota Granada dan melakukan layanan yang zalim kepada umat Islam.

PENUTUP

Tuntasnya, kemasukan Islam di Andalus telah membuka dimensi yang baharu kepada dunia Eropah. Bukan itu sahaja sepanjang pemerintahan Islam, telah berlaku bermacam - macam perubahan dari segi bahasa, amalan perilaku sosial dan kesenian. Kejayaan penaklukkan Islam di Andalus telah menunjukkan bahawa kerajaan Islam merupakan sebuah kerajaan yang kuat ketika itu. Islam semasa memerintah Andalus telah memperkenalkan pelbagai jenis kemajuan sehingga bangkitnya dunia barat dari zaman kegelapan kepada zaman kemajuan. Perkembangan ilmu pengetahuan di Andalus yang pesat telah menjadikan Andalus sebuah negara yang perlu dikunjungi dan dilawati oleh golongan cendiakawan. Malah, Sikap pemerintah Islam yang adil dan baik terhadap rakyat tanpa mengira agama dan bangsa telah mewujudkan suasana yang aman dan makmur. Pemerintah Islam yang bijaksana juga telah memberi kesan yang luar biasa kepada masyarakat bukan Islam di Andalus. Pada mulanya, oaran - orang Kristian yang meninggalkan rumah mereka dalam keadaaan yang takut dan resah, namun semasa pemerintahan Islam, mereka dapat menjalani kehidupan harian yang makmur dan tenteram.

Semasa pemerintahan Islam di Andalus, para pemerintah tidak memaksa rakyat bukan Islam untuk memeluk Islam. Malah masyarakat bukan Islam juga dapat melakukan aktiviti keagamaan mereka dengan bebas dan mereka juga diberi taraf perlindungan yang sama dengan orang Islam yang lain oleh pemerintah Islam. Kerajaan Islam telah berjaya membina sebuah tamadun yang disegani dengan melahirkan ramai tokoh - tokoh ilmuan. Kewibawaan dan kebijaksanaan pemerintah seperti Khlaifah Abdul Rahman II, Khalifah Hisyam, Khalifah Abdul Rahman III dan lain - lain lagi telah menjadikan Andalus sebuah negara Islam yang terunggul dan maju hampir 8 abad lamanya. Namun, kejatuhan Andalus telah bermula apabila pelbagai faktor kelemahan yang muncul antaranya kelemahan sistem pertahanan, perebutan tahkta antara pemerintah, muncul wilayah - wilayah kecil yang saling berperang dan berlakunya seri pemberontakan yang kerap. Selepas kejatuhan wilayah Granada ke atas tangan Raja Ferdinand II dan Ratu Isabella, maka berakhirlah pemerintahan Islam di Andalus selama 700 tahun. Pemerintah Kristian telah melakukan pelbagai kekejaman kepada orang - orang Islam dan mereka juga memaksa orang - orang Islam untuk memeluk agama Kristian. Pemerintah Kristian di Andalus telah berusaha melupuskan seluruh pengaruh Islam dan hilangkan Islam dari bumi Andalus, malah nama Andalus itu sendiri telah lenyap di telan zaman.

Rujukan

1. Ahmad Thomson & Muhammad Ata Ur Rahim, 1996, Islam di Andalusia ' Sejarah Kebangkitan dan Keruntuhan ', Penerbit Gaya Media Pratama.

2. Mohd Ruslan Mohd Nor & Mohamad Zamri bin Mohamed Shapik, 2011, Balatun Tayyibah : Model Andalusia, Imtiyaz Multimedia and Publications.

3. Azizan Baharundin, 1986, Pengenalan Tamadun Islam di Andalus, Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pelajaran Malaysia Kuala Lumpur.

4. Khalif Muammar, 2009, Faktor Kegemilangan Tamadun Islam : Pengajaran Dari Masa Lalu, Jurnal Hadhari.

5. Mohd Roslan Mohd Nor, 2010, Meneladani Sejarah Umat Islam Dalam Bentuk Masyarakat Hadhari yang Gemilang Abad ke - 21, Jurnal Hadhari.

6. Johanthan H. Shannon, 2007, Performing Al - Andalus, Remembering Al - Andalus: Mediterranean Soundings From Mashriq to Maghrib, The Journal of America Folkore.

7. David Nicolle, 1988, El Cid and The Reconquista 1050 - 1942, Osprey Publishing, Elms Court, Chapel Way, Botley.

8. Muhammad al - 'Arusiy al - Matwiy, 1998, Perang Salib di Alam Islami, Pustaka Syuhada.

See comments

To be informed of the latest articles, subscribe:
comments

Girl Gift Template by Ipietoon - Hosted by Overblog